Kerajaan teliti semula subsidi, bantuan kepada rakyat

2024-07-12 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,12 Julai- Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat,termasuk petrol RON95,menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.

“Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun,buat masa ini,tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil,sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira,termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat yang terkesan,menerima manfaat yang sewajarnya,tambahnya.

Kementerian Ekonomi memaklumkan pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan fungsian yang dijalankan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Selain itu,pengagihan bantuan sosial juga sedang dikaji bagi memastikan rakyat,khususnya penerima bantuan tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan apabila kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi,” jelasnya.

Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel termasuk garis masa pelaksanaan,implikasi kewangan yang terlibat serta pendekatan.

Kementerian itu menjelaskan bagaimanapun,sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan.

“Kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” jelasnya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap