Malaysia kecam pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

2024-08-15 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,15 Ogos-Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh rejim zionis Israel pada 13 Ogos.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata,perbuatan itu merupakan pelanggaran serius terhadap salah satu tapak paling suci Islam.

“Malaysia amat berang dengan provokasi ini,yang menafikan hak rakyat Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa tetapi juga tidak menghormati umat Islam di seluruh dunia.

“Pelanggaran yang berulang kali ini jelas menunjukkan sikap tidak peduli yang berterusan terhadap tapak keagamaan yang suci ini,dan dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan terancang Israel untuk menjejaskan status undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif,” katanya.

Dalam pada itu tindakan kejam berkenaan memperlihatkan sikap Israel yang tidak ambil peduli seruan antarabangsa bagi keamanan akan menambahkan ketegangan di rantau Asia Barat.

Israel jelas tidak menghiraukan proses damai,yang disokong oleh majoriti negara bertamadun.

“Malaysia dengan tegas menentang sebarang percubaan rejim Zionis Israel untuk mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan tempat-tempat sucinya.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab atas percubaan berterusan dan sistematik untuk mengubah status Masjid Al-Aqsa,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel untuk menghentikan perang genosid di Gaza.

Tindakan segera dan tegas adalah penting untuk mengelakkan keadaan di Tebing Barat dan Gaza menjadi semakin meruncing.

Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan akan meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi untuk keamanan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap