RM17.5 juta dana kandungan kreatif mantapkan industri filem, muzik negara

2024-09-14 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) pada majlis sembang santai bersama para penggiat industri kreatif Sabah dan Sarawak di INTAN Jalan Sulaman-Tuaran/Foto BERNAMA

KOTA KINABALU,14 September - Kementerian Komunikasi menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sektor filem dan industri muzik berjumlah RM17.5 juta kepada penggiat industri kreatif negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu,RM11 juta diperuntukkan kepada DKK sektor filem,manakala RM6.5 juta bagi DKK industri muzik.

“Ini akan dapat membantu para penggiat industri filem dan muzik menghasilkan kandungan yang kita harap dapat menceritakan serta menonjolkan budaya,kemajmukan dan sedikit sebanyak sejarah tentang Malaysia.

“...untuk ditayangkan bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi sembang santai bersama penggiat industri kreatif dari Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah,di sini hari ini.

Kira-kira 200 penggiat seni dan hiburan dari Sabah dan Sarawak menghadiri sesi sembang santai yang berlangsung selama lebih satu jam,dengan pelbagai perkongsian dan pandangan disuarakan,termasuk isu serta cabaran dalam usaha membawa industri filem dan muzik di negeri dua negeri tersebut berkembang dengan lebih pesat.

Fahmi berkata empat kategori DKK sektor filem melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),ditawarkan melibatkan Dana Pembangunan Skrip,Dana First Time Amateur Film Maker,Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari bermula 16 Sept ini.

Bagi DKK industri muzik,beliau berkata empat kategori ditawarkan melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) mulai 26 Julai hingga 30 Sept merangkumi Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya),Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya),Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI).

“Dua lagi kategori DKK industri muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara serta Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang tahun ini kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Fahmi berkata DKK mampu mewujudkan industri kreatif berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif,selain membangunkan modal insan kompetitif dan setanding di persada tempatan serta global.

Beliau berkata penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan,selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem industri kreatif negara.

Permohonan DKK Sektor Filem dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/ menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif,manakala permohonan DKK Industri Muzik melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif berkelayakan. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap