Belanjawan 2025: Peruntukan RM560 juta perkukuh kawalan sempadan negara

2024-10-20 HaiPress

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,20 Oktober - Peruntukan berjumlah RM560 juta yang disalurkan menerusi Belanjawan 2025 untuk memperkasakan sempadan negara disifatkan sebagai bertepatan dengan situasi semasa.

Penganalisis jenayah,Shahul Hamid Abdul Rahim berkata pengumuman itu amat dinantikan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) sebagai agensi tunggal yang mengawal pintu masuk negara bagi membolehkan agensi itu beroperasi dengan lebih efisien.

“Pengumuman peruntukan itu termasuk perolehan teknologi dron dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah langkah tepat bagi mengekang jenayah penyeludupan barangan seperti dadah dan senjata api yang kerap dilaporkan berlaku di kawasan sempadan dan pintu masuk negara.

“Agensi penguat kuasa di pintu masuk tanah air juga dicadangkan untuk membuat perolehan kamera badan bagi mengurangkan risiko berlakunya rasuah sekali gus meningkatkan imej pasukan keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas tentang peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk pembinaan beberapa pejabat polis baharu,Shahul Hamid berkata ia penting bagi meningkatkan keselamatan balai polis yang telah usang,lebih-lebih lagi selepas berlakunya serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram,Johor pada 17 Mei lepas.

“Aspek keselamatan perlu dipertingkat dalam pembinaan balai polis baharu kerana ia bukan sahaja untuk melindungi anggota,tetapi juga keluarga mereka yang tinggal di kuaters-kuaters di dalam balai berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menerima peruntukan RM19.5 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM500 juta berbanding 2024.

Kementerian Pertahanan pula akan menerima RM21.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Bagi penganalisis pertahanan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula peruntukan bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2,sebuah kapal ‘multi purpose mission ship’ dan dua kapal ronda generasi baharu,menggambarkan kerajaan serius dalam mengawal sempadan negara.

“Pengumuman kerajaan itu menggambarkan perhatian terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah khususnya melibatkan konflik persempadanan di Laut China Selatan dan ia akan membina satu keadaan yang lebih baik bagi keselamatan sempadan negara,” katanya.

Noor Nirwandy berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan RM50 juta pula dilihat mampu membentuk ‘minda keselamatan’ terhadap generasi muda dan memberi pendedahan berkaitan isu-isu keselamatan di negara ini.

Seorang lagi penganalisis pertahanan,Dr Azmi Hassan berkata rakyat tidak perlu khuatir apabila tiada peningkatan mendadak peruntukan bagi menangani isu di Laut China Selatan contohnya untuk pembelian aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selain kerajaan menekankan langkah diplomasi dalam menangani isu di Laut China Selatan,peruntukan boleh disalurkan untuk banyak perkara lain,terutama terhadap penjagaan sempadan apabila MCBA baru sahaja ditubuhkan.

Azmi berkata pertambahan peruntukan bagi KDN dan Kementerian Pertahanan berbanding tahun lepas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan kedua-dua kementerian dalam menangani pelbagai isu pada masa ini.

“Malah jika digabung kedua-dua peruntukan itu,ia akan menjadi peruntukan tertinggi yang diperoleh,mengatasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya.- BERNAMA


TAG: Belanjawan 2025,penganalisis,pertahanan,keselamatan,MCBA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap