Audit 2,000 syarikat GLC perlu campur tangan Ketua Audit Negara

2024-10-22 HaiPress

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR,22 Oktober - Pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memerlukan 'campur tangan' daripada Ketua Audit Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat berhubung agenda reformasi GLC berkata,campur tangan itu perlu berikutan kecelaruan yang berlaku dalam kalangan agensi yang berterusan mencatatkan kerugian.

Perdana Menteri menegaskan prestasi syarikat GLC perlu dinilai dari semasa ke semasa.

"Meski peranan mereka tidak seperti syarikat swasta,namun prestasi agensi berkenaan tetap perlu dinilai. Kita bersetuju supaya Ketua Audit Negara melaksanakan audit ke atas semua 2,000 syarikat ini. Saya pasti ia akan menjadi kejutan supaya semua pihak lebih bertanggungjawab,kerana masih terdapat pelanggaran (undang-undang) di beberapa peringkat (dalam syarikat). Tiada jalan lain,kita (Kerajaan) akan menjalankan audit dan terus memantau," kata beliau.

Tambah beliau,Jabatan Audit Negara akan melakukan pengauditan terhadap GLC bermula tahun depan.

Dalam perkembangan sama,syarikat GLC dinasihatkan memberi fokus kepada kegiatan memperkasa Perusahaan Mikro,Kecil dan Sederhana (PMKS),syarikat tempatan serta bumiputera.

Datuk Seri Anwar memberitahu dewan,ketika ini terdapat dalam kalangan GLC yang hanya memenuhi keperluan komersil.

"Perlu peringatan supaya badan ini walaupun bebas di bawah lembaga masing-masing,tetapi tidak harus mengenepikan tatakelola yang telah ditetapkan," tegas beliau.

Justeru Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun ditubuhkan bertujuan memantau agensi berkaitan,bertujuan memastikan matlamat asal GLC tidak tersasar.

Pada sesi sama,Perdana Menteri turut menegaskan pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC perlu dibuat berdasarkan kelayakan.

Pelantikan juga perlu melalui proses semakan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM),Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Syarat dan keutamaan pelantikan ahli lembaga pengarah GLIC dan GLC diberikan kepada golongan profesional,namun tidak mendiskriminasi orang politik. Selain kelayakan lantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),Bank Negara,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Namun institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak diizinkan ahli politik dalam ahli lembaga. Kita mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat,hari ini.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap