JIM perkenal pas khas dalam talian, eSP

2024-11-25 HaiPress

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA,25 November- Pas khas dalam talian (eSP),diperkenal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada warga asing yang ingin memasuki dan tinggal di Malaysia tidak melebihi 30 hari.

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif yang akan bermula Januari 2025 itu selaras usaha transformasi penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah pendigitalan.

"Pas khas berkenaan merupakan satu dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara asing bertujuan memberi hak kepada pemegang untuk masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi 30 hari berdasarkan kepada peraturan 14,Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN.

Beliau berkata pada masa ini,urus niaga permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual,dengan pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.

"Memandangkan 50% warganegara asing yang hadir ke Pejabat Imigresen adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia,ia telah menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa,Pas dan Permit," katanya.

Menurut Saifuddin,pelaksanaan eSP akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang berurusan di kaunter.

eSP merupakan platform permohonan pas khas secara dalam talian dalam menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang masih sah.

Permohonan kemudahan eSP itu terbuka untuk mana-mana warga asing yang sedang menunggu keputusan sama ada permohonan baharu,lanjutan,pertukaran PLS Jangka Panjang atau mereka yang mengalami masalah kesihatan,kemalangan jalan raya,bencana alam atau berada dalam situasi luar kawalan yang difikirkan wajar dan munasabah.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap