TikTok sertai CMCF, tingkat kawal selia kandungan digital

2024-11-25 HaiPress

KENYATAAN CMCF

KUALA LUMPUR,25 November- TikTok kini secara rasmi menjadi ahli Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bawah kategori baharu iaitu "Penyedia Teknologi,Media dan Perkhidmatan Digital."

Penyertaan itu adalah pertama melibatkan platform video mudah alih pendek,susulan pindaan perlembagaan forum industri yang dilaksanakan awal tahun ini.

CMCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan menandakan komitmen penting dalam memperkukuh kawal selia kendiri kandungan digital dan melindungi pengguna.

"TikTok akan bekerjasama dengan CMCF untuk membuka jalan bagi usaha kolaboratif dalam penggubalan polisi,penetapan standard industri,dan promosi berterusan terhadap landskap media yang lebih selamat dan adil di Malaysia," menurut kenyataan.

Dalam kenyataan sama,Pengerusi CMCF Rafiq Razali berkata penyertaan TikTok mencerminkan komitmen forum tersebut dalam membina ekosistem digital yang seimbang dan bertanggungjawab.

"Penyertaan TikTok merupakan langkah penting ke hadapan ketika kami bekerjasama untuk membentuk polisi industri,memastikan kandungan yang bertanggungjawab,dan meningkatkan kepercayaan dalam ruang digital demi manfaat pengguna di seluruh Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood pula mengalu-alukan penyertaan TikTok dan menyatakan bahawa adalah amat memberangsangkan untuk melihat platform seperti TikTok mengambil peranan aktif dalam menyokong kawal selia kendiri dalam industri.

"Kami dengan senang hati mengalu-alukan platform digital lain untuk menyertai kami,kerana penyertaan mereka memastikan dasar kandungan kami selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,mematuhi undang-undang negara dan memenuhi keperluan unik komuniti rakyat Malaysia," katanya.

CMCF berharap kerjasama bersama TikTok akan menyumbang kepada pembentukan masa depan kandungan digital,mempromosikan amalan terbaik dan melindungi kepentingan pengguna di Malaysia.

CMCF merupakan organisasi kawal selia kendiri bebas yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai forum industri yang ditetapkan oleh Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA'98).

Ia bertujuan menyelia serta menggalakkan pengawalseliaan kendiri kandungan melalui medium rangkaian elektronik,melibatkan pelbagai pemain utama industri seperti pengiklan,agensi pengiklanan,penyiar,pencipta dan pengedar kandungan,serta penyedia perkhidmatan internet.



KENYATAAN CMCF
Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap