Rakyat Terengganu sambut baik peruntukan tambahan RM25 juta bantu mangsa banjir

2024-12-01 HaiPress

Foto RTM

SETIU,1 Disember- Pengumuman peruntukan tambahan RM25 juta untuk membantu penduduk terjejas banjir oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat reaksi positif di kalangan penduduk setempat terutama mereka yang terjejas banjir di sini.

Mereka yang ditemui mengharapkan peruntukan segera itu dapat mengurangkan beban dan masalah banjir yang sering melanda terutama pada musim tengkujuh.

Salah seorang penduduk yang ditemui,Mohd Nurkhuzari Mazid berkata pengumuman oleh Perdana Menteri itu disambut dengan rasa kesyukuran.

Beliau yang juga Penghulu Mukim Chalok berkata peruntukan berkenaan turut mampu mengurangkan beban penduduk yang terjejas akibat banjir.

"Bersyukur pengumuman Perdana Menteri bahawa ada peruntukan tambahan untuk Terengganu. Kalau kita lihat banjir yang berlaku semakin lama semakin memburuk.

"Insya-Allah dengan peruntukan ini mampu kurang risiko dan beri keselesaan rakyat dan penduduk setempat",katanya ketika ditemui RTM.

Sementara itu,Siti Norzilawati,salah seorang mangsa terjejas banjir menyifatkan peruntukan tambahan itu mampu membolehkan penduduk terjejas pulang ke rumah dan memperbaiki barangan peribadi yang rosak akibat banjir.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi menghulurkan dana bantuan kepada mangsa terjejas di Terengganu.

"Dengan peruntukan ini,kami dapat membaiki semula barang-barangan peribadi yang rosak",katanya.

Setakat pukul 3.00 petang tadi,Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan seramai 39,978 mangsa daripada 10,996 keluarga melibatkan lapan daerah.

Manakala 294 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap