Skuad Musaadah Al Falah MADANI mulakan misi bantuan banjir

2024-12-04 HaiPress

FOTO FACEBOOK Dato' Setia Dr. Naim

PUTRAJAYA,4 Disember- Skuad Musaadah Al Falah MADANI yang diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini berlepas ke Rantau Panjang dan Tumpat,Kelantan untuk menyampaikan sumbangan serta menjalankan misi bantuan kepada penduduk terjejas banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata hampir RM13 juta diperuntukkan oleh agensi-agensi agama bawahnya untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat musibah banjir di seluruh negara.

"Kelantan,Terengganu dan Kedah,seperti yang kita sedia maklum,adalah tiga negeri yang paling teruk dilanda banjir kali ini. Kita juga akan turun membantu di Pahang,Perak,Johor dan Melaka," katanya.

Menurutnya,berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia),gelombang kedua banjir dijangka berlaku bermula 7 dan 8 Disember.

"Insha-Allah,agensi-agensi agama sentiasa bersiap sedia untuk membantu serta menguatkan sokongan kepada kerajaan yang sudah berada di lapangan," tambahnya lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Skuad Musa’adah Al Falah MADANI di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Jelasnya,skuad tambahan itu turut membawa sumbangan seperti wang tunai,pek makanan kering,kit kebersihan,tuala wanita,kit solat,selimut dan kipas untuk kegunaan penduduk terjejas banjir.

Skuad Prihatin Ummah MAPIM dan Yayasan Waqaf Malaysia telah memulakan operasi bantuan dengan menyediakan makanan seawal pukul 5.00 pagi,manakala 25 sukarelawan tambahan dari pelbagai agensi hal ehwal Islam telah berlepas pada 10.00 pagi untuk menjalankan misi bantuan.

Mohd Na’im berharap misi bantuan tersebut dapat meringankan kesulitan yang dihadapi penduduk terjejas melalui penyediaan keperluan asas,sokongan moral,serta membantu proses pemulihan pascabanjir.


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap