Bursa Malaysia dibuka dengan catat sedikit perubahan

2024-12-04 HaiPress

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR,4 Disember- Bursa Malaysia dibuka dengan mencatat sedikit perubahan hari ini dalam dagangan yang tidak menentu,di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di Wall Street menjelang pengumuman data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) yang dijangka pada lewat minggu ini.

Pada 9.05 pagi,Indeks FBM KLCI meningkat 1.16 mata kepada 1,608.12 daripada 1,606.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 0.01 mata lebih tinggi kepada 1,606.97.

Sentimen pasaran adalah positif,dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 177 berbanding 101 manakala 282 kaunter tidak berubah,1,851 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 239.12 juta unit bernilai RM63.72 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata,FBM KLCI pada akhirnya berjaya melepasi paras 1,600 selepas beberapa percubaan semasa dagangan semalam,yang menunjukkan jualan asing mungkin semakin berkurangan.

Walaupun masih berwaspada sama ada peningkatan itu akan berterusan,beliau menjangka indeks akan kekal dalam julat 1,605-1,615 hari ini.

"Selain itu,perkembangan politik di Korea Selatan mungkin memberi kesan yang meluas di seluruh rantau ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu,peniaga ActivTrades,Anderson Alves berkata saham Asia mungkin mengalami dagangan yang tidak menentu pada Rabu,dengan tumpuan utama kepada pasaran Korea Selatan.

Pengumuman Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol untuk membatalkan undang-undang tentera,yang sebelum ini menyebabkan jualan besar-besaran,mencetuskan semula keyakinan terhadap pasaran,katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi,Maybank menyusut empat sen kepada RM10.14,CIMB rendah tiga sen kepada RM8.18,Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.50 dan IHH susut lima sen kepada RM7.17.

Bagaimanapun,Tenaga Nasional menokok 12 sen kepada RM13.50.

Bagi kaunter aktif,Zen Tech dan Bintai Kinden masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 8.5 sen manakala Velocity rendah setengah sen kepada empat sen.

Mpire Global naik setengah sen kepada 12 sen dan Datasonic meningkat satu sen kepada 42 sen.

Di papan indeks,Indeks FBM Emas meningkat 18.97 mata kepada 12,251.18,Indeks FBMT 100 menokok 16.68 mata kepada 11,937.68 dan Indeks FBM 70 melonjak 54.93 mata sehingga 18,073.35.

Indeks FBM Emas Syariah pula meningkat 40.06 mata kepada 12,240.10 dan Indeks FBM ACE menokok 10.58 mata kepada 5,200.22.

Mengikut sektor,Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.51 ​​mata kepada 19,073.69 manakala Indeks Perladangan rendah 10.41 mata kepada 7,724.60.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.01 mata kepada 174.83 manakala Indeks Tenaga menambah 5.23 mata kepada 806.78. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap