NADMA perkukuh persediaan bencana melalui kerjasama strategik

2024-12-05 HaiPress

Khairul Shahril Idrus menjadi tetamu khas program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini/RTM

KUALA LUMPUR,5 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh persediaan menghadapi bencana dengan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan,pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Ketua Pengarahnya,Datuk Khairul Shahril Idrus menegaskan bahawa langkah itu bertujuan memastikan kesiapsiagaan negara lebih cekap,responsif dan efisien demi kesejahteraan rakyat.

"Kita telah melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk latihan amal melibatkan semua agensi berkaitan,penglibatan NGO dalam penyelarasan dan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) baharu yang fleksibel dan efisien," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu khas program Selamat Pagi Malaysia di TV1 RTM.

Khairul turut menjelaskan bahawa NADMA tidak hanya menumpukan perhatian kepada kawasan hotspot banjir tetapi memastikan semua kawasan di negara ini dipantau secara menyeluruh.

"Kita membuat persediaan di seluruh tempat dan seluruh negara tanpa memberi tumpuan ataupun meninggalkan mana-mana kawasan," ujarnya ketika diminta mengulas kejadian banjir mengejut yang berlaku baru-baru ini di beberapa kawasan di Ipoh,Perak.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk memastikan bantuan kepada penduduk terjejas banjir dapat disalurkan dengan cepat dan tepat,sekali gus mempercepatkan usaha pemulihan serta meringankan beban mangsa bencana.

Dalam pada itu,beliau memaklumkan bahawa NADMA turut berdepan cabaran besar dalam mengekang penularan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

"Berita palsu ini mencetuskan kekeliruan,rasa tidak puas hati dan tidak menggambarkan pengurusan bencana secara menyeluruh. Oleh itu,kesedaran dan semakan maklumat yang tepat amat penting," tambahnya.

Dengan pelaksanaan langkah proaktif itu,NADMA berharap pengurusan bencana kali ini dapat berada pada tahap terbaik.

Kerjasama yang erat antara pelbagai pihak diharap dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin,meskipun negara menghadapi cabaran besar semasa musim bencana.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap