Elak pertentangan kaum demi perpaduan negara

2024-12-25 IDOPRESS

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,24 Disember - Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum di negara ini mesti dielakkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi,terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.

Katanya,Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.

"Malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.

"Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping," kata Anwar menerusi hantaran Facebook sempena Hari Krismas yang bakal disambut penganut agama Kristian esok.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian.

"Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

"Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian,dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan," kata beliau.

Anwar berkata sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya,perayaan-perayaan besar seperti Krismas terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.

Hari Krismas disambut pada 25 Disember setiap tahun oleh penganut Kristian.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap