Kebakaran paip gas Putra Heights : Punca disebabkan pergerakan tanah tidak stabil
2025-07-01
HaiPress
Foto Bernama
SHAH ALAM,30 Jun - Insiden letupan dan kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights,Subang Jaya pada 1 April lalu dikenal pasti berpunca daripada pergerakan tanah tidak stabil di bawah permukaan paip.
Namun Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),Husdin Che Amat mengesahkan paip gas yang terlibat telah memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Pihaknya dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),Jabatan Kerja Raya (JKR),Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan.
Mengambil kira hasil siasatan oleh semua agensi terlibat,beliau memberitahu,tiga elemen dapat dirumuskan iaitu paip gas patah pada kimpalan berbentuk tarikan,tanah yang longgar dan lembut jadi punca utama dan paip alami pergerakan ketara sebelum kegagalan atau terbakar.
"Keadaan tanah yang lemah menyebabkan paip bergerak berulang kali sehingga menimbulkan tekanan dan garis keletihan pada permukaan paip,seterusnya mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian,menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar," dedahnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di sini hari ini.
Mengulas lanjut,beliau memaklumkan,sebagai langkah pencegahan,pihaknya telah mengarahkan Petronas mengenal pasti lokasi laluan paip sepanjang 2,680 kilometer bermula dari Jerteh,Terengganu ke Singapura yang berpotensi berlaku insiden sama.