Peminjam PTPTN boleh runding bayaran balik

2025-08-19 HaiPress

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR,19 Ogos - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh memohon rundingan bayaran balik untuk penstrukturan semula pinjaman.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Mustapha Sakmud berkata rundingan itu bagi membolehkan peminjam membuat bayaran mengikut kemampuan atau memohon penangguhan sementara,sekiranya tidak mempunyai pendapatan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik untuk tidak mengambil sikap mendiamkan diri atau menunggu sehingga tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman diambil ke atas mereka.

"Sebaliknya,mereka boleh hadir ke mana-mana 57 buah cawangan PTPTN di seluruh negara,atau hubungi talian khidmat pelanggan PTPTN untuk memaklumkan mengenai situasi mereka dan membuat rundingan yang sewajarnya",katanya.

Jelasnya,sumber utama dana untuk membiayai pinjaman pendidikan PTPTN kepada pelajar diperoleh melalui kutipan bayaran balik pinjaman.

Sehubungan itu,tindakan menghapuskan pinjaman peminjam terdahulu mengakibatkan kerajaan perlu menanggung keseluruhan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan.

Sementara itu,pelbagai inisiatif dilaksana kementerian bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman.

Ini termasuk menjayakan Kempen #LestariPendidikan dan mengambil tindakan mengeluarkan surat-surat tuntutan serta notis peringatan sebagaimana termaktub dalam perjanjian bagi memperingati peminjam supaya membuat bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kepong,Lim Lip Eng yang ingin kementerian menyatakan tindakan terhadap 400,000 peminjam PTPTN yang gagal membuat sebarang bayaran selepas 10 tahun,melibatkan jumlah pinjaman RM5 bilion.

Sehingga Julai 2025,PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 3.1 juta peminjam daripada golongan B40 atau penerima STR,dengan jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM59.44 bilion.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap