MAHB perkasa kesiapsiagaan di semua Lapangan Terbang kendaliannya
2025-09-08
HaiPress
Foto RTM
AYER KEROH,8 September - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus perkukuh kesiapsiagaan di semua lapangan terbang kendaliannya di seluruh negara.
Langkah ini bagi memastikan setiap operasi dan pengurusan kecemasan berada pada tahap maksimum untuk keselamatan penumpang dan petugas.
Sehingga kini,seramai 990 pegawai dan anggota Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) ditempatkan di lapangan terbang utama seluruh negara.
Pengurus Besar AFRS,Muhammad Hidayat Ismail berkata,setiap anggota menjalani latihan intensif merangkumi kebombaan,penyelamatan,pengurusan bahan berbahaya (HAZMAT),serta prosedur kecemasan lapangan terbang.
"Tugas utama AFRS ini adalah membuat tindak balas kecemasan terhadap sebarang kecemasan pesawat yang berlaku di lapangan terbang dan di persekitaran 8 kilometer radius.
"AFRS juga bertindak balas apa juga kemalangan dan kecemasan yang berlaku di dalam kawasan lapangan terbang",katanya.
Tegas beliau,perkhidmatan AFRS dilaksanakan mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta berpandukan Akta Penerbangan Awam 1969.
Beliau ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan AFRS Siri ke-14 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka,Batu Berendam di sini,hari ini.
Seramai lapan pegawai dan 151 anggota baharu ditauliahkan dalam majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka,Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.