Pesara guru besar didakwa ugut pakar patologi kes Zara Qairina

2025-09-11 HaiPress

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes ugutan pakar patologi Dr. Jessie Hiu. Foto fail / BERNAMA

KOTA KINABALU,11 September - Seorang pesara guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi kes inkues kematian Zara Qairina Mahathir,Dr. Jessie Hiu.

Tertuduh,Kamul Kamarudin,61,didakwa memuat naik kenyataan ugutan di laman Facebook menggunakan profil “Amung Kamaruddin” pada 4 September lalu,kira-kira pukul 11 malam.

Kenyataan itu berbunyi: “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal… bila dia kerja… upah bah… pemandu langgar lari.”

Dr. Jessie merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara Qairina.

Kamul didakwa melakukan kesalahan dengan niat mengganggu mangsa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun,atau kedua-duanya,selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh diwakili peguam Elhanan James yang merayu agar mahkamah mempertimbangkan faktor usia,status pesara,masalah kesihatan serta tanggungjawab menjaga dua adik-beradik uzur,seorang lumpuh dan seorang lagi menghidap strok.

Peguam turut memaklumkan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Pihak pendakwaan dikendalikan Lovely Natasha Charles dan Meredith Gilbert memohon jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan,selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu keluarga mangsa atau saksi kes.

Mahkamah menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap