1,928 sekolah sertai Kempen Internet Selamat anjuran MCMC

2025-09-11 HaiPress

Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching (dua,kiri) melawat bengkel kesedaran selepas perasmian karnival Kempen Internet Selamat (KIS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Shah Alam / Foto Bernama

SHAH ALAM,11 September – Sebanyak 1,928 sekolah di seluruh negara telah menyertai modul Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat 1 September lalu.

Daripada jumlah itu,144 sekolah terlibat adalah di Selangor manakala 76 lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching berkata pelaksanaan modul-modul KIS merupakan usaha strategik untuk memperluas capaian program agar tiada pihak yang tercicir daripada inisiatif tersebut.

“Setakat ini,program ini mendapat sambutan positif daripada institusi pendidikan kerana berkesan meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan melindungi diri ketika melayari internet,memahami risiko siber serta memupuk budaya penggunaan internet secara bertanggungjawab.

“Kita mahu pastikan program ini bersifat interaktif supaya mudah difahami dan diingati. Sebagai contoh,apabila murid berdepan situasi orang asing menghubungi mereka atau meminta gambar,mereka tahu tindakan yang wajar diambil. Dengan cara ini,kita dapat membimbing mereka secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor dan Kuala Lumpur,hari ini.

Karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Persatuan Guru Besar Tamil Malaysia,selain turut disertai pameran daripada rakan strategik MCMC seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI),Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor.

Sebanyak 107 SJKT di Selangor dan Kuala Lumpur telah menyertai karnival tersebut,manakala seramai 214 murid dilantik sebagai Ikon Kapten K-DAT yang akan menjadi duta Kempen Internet Selamat di sekolah masing-masing.

Tambah Teo,program seumpama itu juga berpotensi diperluas ke negeri-negeri lain sekiranya menerima respons positif daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap