Maybank IB semak unjuran pendapatan KLCI, kekal sasaran indeks 1,660
2025-09-11
HaiPress
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,9 September - Maybank Investment Bank menyemak semula unjuran pertumbuhan pendapatan KLCI kepada 1.5 peratus bagi tahun 2025 dan 8.2 peratus untuk tahun hadapan,berbanding unjuran awal masing-masing pada 2.5 peratus dan 7.7 peratus.
Firma itu berkata,prestasi korporat pada suku kedua 2025 lebih baik daripada jangkaan,khususnya dalam sektor perbankan,pengguna,perladangan dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).
“Sebanyak 60 peratus saham di bawah liputan kami memenuhi jangkaan,manakala 14 peratus lagi mengatasi unjuran dengan saham modal kecil dan sederhana menyerlah pada suku ini.
"Penurunan penarafan pula sebahagian besarnya didorong oleh harga saham yang meningkat,walaupun terdapat segelintir yang berpunca daripada kelemahan operasi,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya,hari ini.
Secara keseluruhan,80 peratus saham komponen KLCI menepati jangkaan,berbanding 53 peratus suku sebelumnya.
Perkembangan tersebut menyokong prestasi indeks FBM KLCI kebelakangan ini dan meredakan kebimbangan pelabur.
"Walaupun terdapat semakan kecil bagi unjuran pertumbuhan pendapatan bagi 2026,unjuran bagi indeks utama FBMKLCI kekal pada 1,660 untuk akhir tahun ini," menurut kenyataan Maybank IB.
Pasaran dijangka kembali rancak untuk tempoh seterusnya,susulan ketegangan tarif yang mereda dan hasil rundingan tarif yang positif.
Namun,faktor luaran masih dipengaruhi kebimbangan berhubung tarif semikonduktor yang belum dimuktamadkan.
Di peringkat domestik,pelabur bakal memberi tumpuan kepada pelaksanaan subsidi petrol RON95,Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF),pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),serta pembentangan Belanjawan 2026 yang akan datang.