Industri aeroangkasa sasar RM30 bilion tahun ini - Tengku Datuk Seri Zafrul

2025-09-11 HaiPress

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan Sidang Kemuncak MyAERO 2026 dan sambutan ulang tahun ke-10 Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia). / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,11 September - Industri aeroangkasa negara mampu mencatat pendapatan RM30 bilion tahun ini,meningkat daripada RM25.1 bilion yang direkodkan pada 2024,menurut Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keyakinan itu berasaskan prospek semasa serta perkembangan positif dalam projek dan pelaburan sedia ada.

“Industri aeroangkasa sedang berkembang pesat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak MyAERO 2026 dan sambutan ulang tahun ke-10 Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) di Menara MATRADE,hari ini.

Beliau berkata,sektor itu bukan sahaja terus menarik pelaburan dalam pembuatan berteknologi tinggi,malah turut memperkukuh aktiviti penyelenggaraan,pembaikan dan baik pulih (MRO).

NAICO Malaysia,sebuah agensi bawah MITI yang ditubuhkan pada 2015 dan distruktur semula sebagai sebuah perbadanan pada 2023,memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem bakat,rantaian bekalan serta penyelidikan aeroangkasa negara.

Antara inisiatif terbaharu ialah penubuhan Pusat MyAERO yang menyediakan kemudahan teknologi canggih seperti makmal visualisasi 3D,simulator Kawalan Berangka Komputer (CNC) dan robotik untuk kegunaan industri serta latihan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul,Sidang Kemuncak MyAERO 2026 yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Jun tahun depan dijangka menjadi platform penting menghimpunkan pemain global,penyelidik dan bakat tempatan,sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau menjelang 2030.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap