Transformasi digital, sumbang pertumbuhan ekonomi negara
2025-09-15
HaiPress
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,14 September - Belanjawan 2026 diharap dapat memberi tumpuan kepada usaha mempercepat transformasi digital negara dengan merangka strategi baharu ke arah menjadikan Malaysia sebagai pencipta dan pengeluar teknologi digital.
Menurut Pensyarah Kejuruteraan Mekatronik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Prof. Madya Dr. Yasir Mohd Mustafah,langkah itu penting bagi membolehkan Malaysia menerajui bidang teknologi kecerdasan buatan (AI),internet kebendaan (IoT) dan robotik.
"Dengan menerajui teknologi digital seperti AI,IoT dan robotik,kita dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta membantu menangani isu gaji rendah,kebergantungan kepada pekerja asing dan masalah alam sekitar," katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau,pendidikan digital juga perlu diberi penekanan untuk meningkatkan kemahiran dan aspek keselamatan dalam penggunaan teknologi.
Sementara itu,Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Ihsan berpendapat,penekanan terhadap pembangunan bakat,pengukuhan infrastruktur,sokongan kewangan serta integrasi pendidikan mampu merangsang penggunaan teknologi digital dan AI di Malaysia.
"Pembangunan bakat digital amat penting bagi memastikan teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
"Ini selain pemantapan infrastruktur digital,khususnya capaian internet jalur lebar dan rangkaian mudah alih,juga perlu diberi keutamaan," katanya
Kerajaan juga disaran menyediakan insentif kewangan seperti geran padanan,pinjaman mudah,pengecualian cukai dan elaun pelaburan bagi menggalakkan syarikat melabur dalam automasi serta teknologi digital.
Sebelum ini,Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan,antara fokus Belanjawan 2026 adalah melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi.
Ia khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor bagi memenuhi keperluan mendesak industri berteknologi tinggi.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.