Lelaki hilang, dikhuatiri dibaham buaya
2025-09-16
HaiPress
FOTO JBPM Sarawak
KOTA SAMARAHAN,15 September - Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Kampung Lubok Punggor,di sini,petang tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak,kejadian berlaku ketika mangsa,Ahmad Alzadkhri Sudin,32 tahun,bersama ahli keluarganya menjalankan aktiviti menjala udang menggunakan perahu sejak awal pagi di tebing sungai berkenaan.
"Mangsa dilaporkan dibaham reptilia itu kira-kira pukul 4.00 petang.
"Kawasan kejadian terletak kira-kira 200 meter dari kampung dan usaha pencarian awal oleh penduduk masih gagal menemui mangsa." menurut kenyataan tersebut.
PGO menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.56 petang sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan serta Simunjan ke lokasi.
Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian,melakukan penilaian di lokasi,dan menetapkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) akan digerakkan bermula esok.