Niaga hadapan MSM ditutup tinggi
2025-10-17
HaiPress
Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR,16 Oktober -Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi sedikit pada Khamis dalam persekitaran jangkaan peningkatan pengeluaran pada Oktober,kata seorang penganalisis.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata lazimnya tempoh antara Ogos hingga Oktober merupakan musim puncak pengeluaran MSM di Malaysia,yang menyumbang sekitar 30 peratus pengeluaran tahunan negara.
"Selain itu,prestasi kukuh dalam pasaran minyak sayur turut menyokong sentimen pasaran," katanya kepada Bernama.
Sementara itu,data daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan bahawa pengeluaran minyak sawit bagi tempoh 1 hingga 15 Oktober meningkat sebanyak 6.86 peratus.
Pada penutup dagangan,kontrak bulan semerta baharu November 2025 naik RM2 kepada RM4,431 satu tan,manakala Disember 2025 kekal pada RM4,477 dan Januari 2026 menokok RM8 kepada RM4,520.
Kontrak Februari 2026 dan Mac 2026 masing-masing meningkat RM18 kepada RM4,533 dan RM4,518 satu tan,manakala April 2026 naik RM21 kepada RM4,493.
Jumlah dagangan susut kepada 94,132 lot daripada 117,165 pada Rabu,manakala kepentingan terbuka turun kepada 277,195 daripada 281,788 sebelum itu.
Di pasaran fizikal,harga MSM bagi Oktober Selatan adalah pada RM4,430 satu tan. - BERNAMA