Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang mesyuarat FOMC

2025-10-27 HaiPress

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR,27 Oktober - Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam keadaan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada 28 hingga 29 Oktober,kata penganalisis.

Pada 8 pagi,ringgit meningkat kepada 4.2145/2350 berbanding dolar AS daripada 4.2210/2255 semasa ditutup pada Jumaat.

Bercakap kepada Bernama,Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks harga pengguna (IHP) bagi September yang mencatatkan tiga peratus adalah lebih rendah daripada anggaran konsensus 3.1 peratus.

Keadaan ini menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berada di landasan sewajarnya untuk melaksanakan penurunan kadar faedah yang kedua dan dijangka melaksanakan banyak lagi penurunan pada 2026 berikutan bank pusat AS telah mengalihkan tumpuan untuk merancakkan semula pasaran pekerjaan,katanya.

"Ini bermakna perbezaan kadar faedah antara kadar dana Fed dan kadar dasar semalaman (OPR) akan berkurangan dalam masa terdekat," katanya.

Mohd Afzanizam bagaimanapun berkata Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan tergesa-gesa untuk menurunkan OPR.

Sehubungan itu,beliau berpendapat faedah penanda aras akan kekal stabil untuk tempoh yang masih berbaki pada tahun ini.

“Mengikut perspektif kadar dasar,keadaan ini sewajarya memberi kesan positif kepada ringgit. Oleh itu,kita akan menyaksikan gandingan dolar AS-ringgit bergerak sekitar RM4.21 hingga RM4.22 hari ini,” katanya.

Sementara itu,Mohd Afzanizam berkata kehadiran Presiden AS Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN adalah sesuatu yang positif kepada Malaysia yang memaparkan komitmen AS terhadap perdagangan global dan kesediaan untuk mengadakan rundingan aktif bagi mencapai penyelesaian kepada situasi yang saling menguntungkan.

Katanya sehubungan itu,keadaan ini memberikan kelebihan kepada ringgit walaupun dalam jangka sederhana hingga panjang.

Pada pembukaan dagangan,ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 2.7553/7689 daripada 2.7592/7623 semasa ditutup pada Jumaat,meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6150/6423 daripada 5.6232/6292,tetapi rendah berbanding euro kepada 4.9023/9262 daripada 4.9010/9062.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2472/2632 daripada 3.2484/2521 semasa ditutup pada Jumaat,mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.18/7.22 daripada 7.20/7.21,dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 253.8/255.2 daripada 254.2/254.6 sebelumnya.

Unit tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8939/9630 daripada 12.8768/8952 semasa ditutup pada Jumaat. -- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap