Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
2025-11-07
HaiPress

GAMBAR ARKIB / RTM
KUALA LUMPUR,7 November - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan Jumaat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,mencecah paras 4.17.
Semalam,BNM mengekalkan OPR pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhirnya bagi 2025.
Pada 8 pagi,mata wang tempatan meningkat kepada 4.1760/1865 berbanding dolar AS daripada 4.1820/1845 pada penutup Khamis.
Mata wang tempatan itu menghampiri paras tertinggi sebelumnya,kali terakhir dilihat pada 2 Oktober tahun lepas,apabila ia berada pada 4.1730/1790.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata susulan BNM mengekalkan OPR,prospek kadar faedah lebih rendah di Amerika Syarikat (AS) secara beransur-ansur akan menjadikan aset denominasi ringgit lebih menarik apabila perbezaan kadar faedah mengecil.
“Oleh itu,kami menjangkakan ringgit akan diniagakan antara 4.17 dan 4.19 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Mengenai dolar AS,beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah merosot di bawah paras 100 mata kepada 99.720 apabila pasaran buruh menunjukkan kelemahan.
“Memandangkan penutupan kerajaan AS masih berkuat kuasa,peniaga dan pelabur bergantung pada data sektor swasta untuk mengukur keadaan pasaran buruh.
“Data AS menunjukkan lebih daripada 150,000 pengurangan pekerjaan pada bulan Oktober,pengurangan terbesar dalam 20 tahun. Justeru,kes untuk penurunan kadar faedah semakin meningkat untuk mesyuarat Disember,” katanya.
Sementara itu,Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan dolar AS baru-baru ini kelihatan semakin lemag dengan pembukaan ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS,baht Thailand dan dolar Singapura.
“Tumpuan pasaran telah kembali kepada prospek fiskal AS,serentak dengan penjualan meluas dalam Perbendaharaan AS dan prestasi lebih stabil dalam indeks ekuiti global,” katanya.
Beliau berkata tekanan fiskal kekal sebagai tema berterusan di Amerika Syarikat,walaupun data alternatif masih menunjukkan ekonomi tidak beralih kepada kelembapan yang mendadak.
“Walaupun kami terus melihat Disember mungkin berlaku penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS,laluan selepas itu masih tertakluk kepada petunjuk makro yang berubah-ubah,” kata Mohd Sedek.
Beliau berkata ringgit yang dibuka lebih kukuh mencerminkan kedua-dua penyederhanaan dalam momentum dolar dan sentimen lebih positif merentasi mata wang serantau apabila pasaran stabil.
Pada pembukaan,ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan merosot berbanding yen kepada 2.7305/7375 daripada 2.7202/7220 ketika ditutup pada Khamis,turun berbanding pound Britain kepada 5.4864/5002 daripada 5.4696/4729,menguncup berbanding euro kepada 4.8220/8342 daripada 4.8143/8172 sebelumnya.
Bagaimanapun,ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2017/2103 daripada 3.2034/2055 ketika ditutup pada Khamis,melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 250.0/250.7 daripada 250.3/250.6 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.08/7.10 daripada 7.09/7.10 sebelum itu.
Ringgit juga mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8829/9285 daripada 12.9178/9311 semalam. -BERNAMA
