Kerajaan Persekutuan prihatin permintaan negeri dalam tetapkan projek RMK-13
2025-05-30
IDOPRESS
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memukul gong sebagai simbolik perasmian sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan,Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA),Penampang,Sabah hari ini / BERNAMA
PENAMPANG,30 Mei- Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,menegaskan kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira keperluan dan permintaan daripada kerajaan negeri dalam menentukan keutamaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut beliau,keutamaan projek-projek yang bakal dilaksanakan bukanlah keputusan sepihak oleh Kerajaan Persekutuan semata-mata,sebaliknya diputuskan bersama kerajaan negeri agar lebih sejajar dengan tuntutan rakyat dan keperluan setempat.
“Dalam menentukan keutamaan projek RMK-13 ini,keputusannya bukanlah datang dari Kuala Lumput atau kementerian sahaja. Ia diputuskan bersama dengan kerajaan negeri,berdasarkan tuntutan dan permintaan negeri itu sendiri,serta persekutuan.
"Pendekatan ini hanya wujud kerana adanya keseragaman,hubungan akrab dan keyakinan antara satu sama lain,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan 2025 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Hongkod Koisaan,hari ini.
Dalam ucapannya,beliau turut mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus mendengar suara negeri dan memastikan pembangunan di Sabah berjalan secara inklusif,berterusan dan lestari.
Perdana Menteri menekankan,semangat saling mempercayai dan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjadi asas penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Pesta Kaamatan 2025 yang disambut secara meriah disifatkan sebagai simbol kesatuan rakyat Sabah dan kekayaan budaya yang wajar dipelihara dan diraikan.