Langkah SST bersasar kurangkan inflasi, perkukuh ekonomi domestik

2025-07-01 HaiPress

Langkah SST bersasar kurangkan inflasi,perkukuh ekonomi domestik / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR,29 Jun – Langkah kerajaan dalam peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini dijangka memberi impak positif kepada rakyat serta mewujudkan ruang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus berkembang tanpa beban cukai tambahan,khususnya dalam sektor perkhidmatan dan keusahawanan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata pengecualian terhadap buah-buahan seperti limau mandarin,kurma,oren dan epal membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menangani beban kos sara hidup rakyat.

“Buah-buahan ini bukan sahaja penting semasa musim perayaan tetapi juga menyumbang kepada kesihatan rakyat melalui kandungan vitamin C dan antioksidan. Jika harganya kekal mampu milik tanpa SST,ia membantu golongan B40 dan M40 untuk kekal sihat,” katanya.

Tambah beliau,pendekatan itu mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap budaya dan keperluan masyarakat berbilang kaum,termasuk pengambilan kurma semasa Ramadan dan limau mandarin ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam perkembangan lain,Dr Mustazar turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan ambang pendaftaran SST daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.

Langkah itu disifatkan mampu melindungi perusahaan mikro dan kecil daripada beban cukai yang berlebihan.

“Dengan ambang baharu ini,banyak perusahaan kecil termasuk penyedia sewaan,perkhidmatan kewangan serta industri pajakan tidak akan terbeban dengan kos pematuhan dan cukai tambahan,” ujarnya.

Beliau turut memuji langkah pengecualian cukai bagi perkhidmatan kecantikan yang dianggap mampu memberi ruang kepada belia dan wanita untuk menceburi bidang keusahawanan,seterusnya memperkukuh sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Ia mampu mencetus peluang pekerjaan dan pembangunan keusahawanan baharu,selain menyokong industri berkaitan seperti pelancongan dan kesihatan,” katanya lagi.

Secara keseluruhannya,Dr Mustazar menyifatkan pendekatan pelaksanaan SST yang bersasar dan inklusif itu bukan sahaja berupaya membantu mengekang inflasi,malah memperkukuh ekonomi domestik menerusi sokongan berterusan kepada rakyat dan PKS.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Teknologi Masa Depan Global      Hubungi kami   SiteMap